MALAYSIA FUTURE LEADERS SCHOOL

MFLS merupakan sebuah program baharu yang dibentuk untuk melahirkan pemimpin belia yang boleh menyumbang sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara serta berkeupayaan berperanan di peringkat antarabangsa disamping membentuk generasi belia yang lebih berwawasan dan tinggi nilai jati diri.

Selain itu, program MFLS ini juga dibentuk hasil daripada susulan idea YAB Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad ketika dijemput menyampaikan ucaptama di Japan Future Leaders School pada 7 Ogos 2018 yang menyatakan - “semua negara termasuk Malaysia perlu mencontohi Kerajaan Jepun dengan mewujudkan sebuah entiti khusus bagi pembangunan kepimpinan dalam kalangan belia”.

Program baharu ini dirangka secara holistik dengan menggabungkan aktiviti ‘indoor’ dan ‘outdoor’ berimpak tinggi untuk menyerlahkan potensi anak muda sebagai rakan strategik dalam membangunkan negara. Pelaksanaan MFLS ini akan melibatkan kumpulan sasar utama belia berumur di antara 15 hingga 17 tahun dan terbahagi kepada tiga peringkat pelaksanaan (3 Tier) iaitu:

Peringkat Pertama (Tier 1)

Tier 1 bertujuan untuk mengenalpasti belia yang efektif dalam pengurusan diri berdasarkan elemen pencapaian akademik, kegiatan kokurikulum, sahsiah dan kecergasan fizikal. Peringkat ini akan dilaksanakan oleh pihak sekolah dengan melibatkan pelajar berumur 15 hingga 17 tahun. Ia merupakan proses saringan untuk memilih peserta yang layak ke peringkat Tier 2.

Peringkat Kedua (Tier 2)

Tier 2 merupakan peringkat yang bertujuan membangunkan belia untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti dan masyarakat. Peringkat ini dilaksanakan menggunakan modul khusus bagi melahirkan pemimpin dalam kalangan belia yang mempunyai keupayaan berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif , mahir berkomunikasi, mengamalkan nilai-nilai murni, serta mempunyai semangat kesukarelawanan. Pada peringkat ini peserta akan mengikuti program selama 10 hari melibatkan aktiviti indoor dan outdoor di kem-kem yang telah ditetapkan.

Peringkat Ketiga (Tier 3)

Tier 3 merupakan peringkat yang bertujuan melahirkan pemimpin belia sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara serta berkeupayaan berperanan ke peringkat antarabangsa. Pada peringkat ini perserta akan melalui pelbagai program di peringkat yang lebih tinggi mencakupi elemen kepimpinan, komunikasi, kenegaraan, pembinaan karakter, kesukarelawanan, keusahawanan dan pengantarabangsaan. Peserta daripada Tier 2 yang terpilih akan menyertai program di Tier 3 selama tempoh 7 bulan.

Selain dari itu, peserta yang layak ke Tier 3 akan mempunyai pemberat untuk kemasukan ke Universiti Awam, peruntukan biasiswa dan peluang berkhidmat di dalam sektor perkhidmatan awam.